LAPORAN KAJIAN TINDAKAN
NAMA DAN ALAMAT SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Seberang Perak,
36000 Teluk Intan,
Perak.
TAJUK KAJIAN
Permasalahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran matapelajaran
Pendidikan Jasmani
REFLEKSI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Sepanjang tempoh tiga bulan mengajar matapelajaran
Pendidikan Jasmani, terutama tahap 2
iaitu Tahun 4, 5 dan 6, saya dapati ada beberapa masalah utama yang menjadi
kekangan dalam kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah
utama ialah majoriti pelajar tidak memakai atau tidak mempunyai pakaian sukan
yang sesuai, tidak menepati masa, agihan pelajar mengikut jantina tidak sama
rata dan tidak menguasai kemahiran asas dengan baik.
Permasalahan-permasalahan tersebut adalah antara punca
utama dalam kegagalan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara
berkesan dan efektif. Akibatnya, saya mendapati sukar untuk melaksanakan
pengajaran sesuai dengan perancangan harian sebagaimana peruntukan masa diberi,
kehendak sukatan pelajaran, mengikut
tahap usia pelajar dan aras kesukaran yang sesuai dengan usia pelajar tersebut.
Permasalahan-permasalahan tersebut perlu diberikan
perhatian yang serius, memandangkan ianya boleh menjejaskan proses pengajaran
dan pembelajaran dan mengakibatkan
kegagalan dalam menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam sukan dan
permainan. Ianya secara tidak lansung
akan menyukarkan penyampaian maklumat dan kelancaran proses pengajaran dan
pembelajaran.
Permasalahan-permasalahan tersebut tidak boleh dibiarkan
berlarutan begitu sahaja, ianya bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan
pembelajaran, tetapi turut menjejaskan kredibiliti guru-guru Pendidikan Jasmani
dalam menjalankan tugas. Oleh yang demikian, kajian perlu dibuat bagi
mengenalpasti cara bagaimana mengatasinya.
Untuk tujuan tersebut, saya menyarankan agar beberapa
langkah diambil dan dilaksanakan segera supaya permasalahan-permasalahan
tersebut tidak menjadi duri dalam daging yang akhirnya merugikan pelajar
sendiri. Beberapa langkah sesuai telah dikenalpasti dan perbincangan bersama
antara pengurusan dan tenaga pengajar perlu dibuat segera.
FOKUS KAJIAN
Melalui perhatian yang dibuat, adalah didapati majoriti pelajar
tahap dua yang terdiri daripada Tahun 4, 5 dan 6 sama ada lelaki atau perempuan
sering melanggar peraturan dan menimbulkan permasalahan-permasalahan berikut;
- Tidak memakai pakaian sukan yang bersesuaian atau lansung tidak membawa pakaian.
- Tidak tepat masa dan seringkali lewat
- Tidak menguasai kemahiran asas sukan dan permainan.
- Jumlah pembahagian pelajar yang tidak seimbang.
Saya berkeyakinan sekiranya permasalahan-permasalahan di
atas dapat diatasi, maka proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,
mencapai objektif yang dirancang sesuai rancangan yang dirancang mengikut
sukatan pelajaran bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan seimbang
dari aspek mental dan fizikal.
OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian permasalahan ini dibuat dan
langkah-langkah pro aktif diambil, objektif berikut diharap dapat dicapai;
a) Objektif
Am
Permasalahan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani
dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan mampu menguasai kemahiran asas yang
diajar.
b) Objektif
Khusus
- Pelajar mempunyai baju sukan yang sesuai mengikut rumah sukan.
- Pelajar menepati masa dan mempunyai cukup waktu untuk belajar.
- Pelajar dapat menguasai kemahiran asas dalam sukan dan permainan.
- Jumlah pelajar yang sama rata akan memudahkan penyampaiandan pelaksanaan aktiviti.
KUMPULAN
SASARAN
Kajian
ini melibatkan pelajar Tahun 4, 5 dan 6 yang terdiri daripada pelajar lelaki
dan perempuan.
PELAKSANAAN
TINDAKAN
Tinjauan
Awal Masalah
Hasil
pemerhatian selama tiga bulan pertama melaksanakan pengajaran matapelajaran
Pendidikan Jasmani, didapati majoriti pelajar sama ada lelaki atau perempuan
yang tidak memakai atau membawa pakaian sukan. Pelajar juga lebih cenderung
memakai baju T dan berseluar sekolah. Oleh itu, pelbagai aktiviti tidak dapat
dijalankan seperti yang dirancang kerana pelajar tidak memakai pakaian yang
sesuai.
Kelewatan
pelajar hadir waktu matapelajaran Pendidikan Jasmani menyebabkan kesuntukan
masa untuk menghabiskan rancangan harian yang telah dirancang. Pelbagai alasan
diberikan oleh pelajar. Waktu yang diambil untuk sampai ke padang memakan masa
lama memandangkan jarak kelas yang jauh.
Kegagalan
pelajar menguasai kemahiran asas sukan dan permainan di sekolah rendah
menyukarkan sedikit proses pengajaran dan pembelajaran kerana aras kemahiran di
peringkat menengah lebih komplek dan pemahaman terhadap lakuan dan kesan adalah
amat diperlukan.
Pembahagian
pelajar yang tidak sama rata turut menimbulkan masalah terutama sewaktu
pengajaran sukan dan permainan yang melibatkan pasukan. Ketidakseimbangan ini
juga perlu diberikan perhatian serius kerana ia juga boleh menyebabkan
kesukaran mengajar terutama pada jumlah yang sangat kecil dan sebaliknya.
Tindakan
yang telah/akan dijalankan
Memandangkan
masalah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja, beberapa langkah dirasakan
perlu diambil dan akan diambil, antaranya termasuklah;
- Guru telah mengenakan denda dan amaran lisan bagi memastikan pelajar hadir dengan pakaian yang sesuai dan lengkap. Namun, didapati masih gagal mematuhi arahan. Mencadangkan agar disediakan baju rumah sukan di kedai koperasi untuk dibeli dan dipakai semasa kelas.
- Akan berbincang dengan pihak pengurusan tentang penggabungan waktu agar lebih masa untuk menguruskan kelas. Selain berbincang tentang pergerakan pelajar keluar dan masuk ke kelas, bagi mengelakkan masalah timbul semasa pergerakan pelajar.
- Mengenalpasti guru-guru yang mengajar mempunyai kemahiran dan dihantar menghadiri kursus profesionalisme yang berkaitan agar menguasai kemahiran asas sukan dan permainan. Ini akan menambahkan keyakinan dan minat guru terhadap pengajaran, sekaligus akan menarik minat pelajar.
- Mengimbangkan bilangan murid akan dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, keseimbangan ini memudahkan guru menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Bagaimanapun pembahagian tersebut akan mengambil masa yang lama.
Adalah
menjadi harapan agar pendekatan yang lebih positif diambil bagi menangani
permasalahan-permasalahan tersebut agar proses pengajaran dan pembelajaran
dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.