Sunday, 11 December 2011

KAJIAN TINDAKAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI

LAPORAN KAJIAN TINDAKAN

NAMA DAN ALAMAT SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Seberang Perak,
36000 Teluk Intan,
Perak.

TAJUK KAJIAN
Permasalahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Pendidikan Jasmani

REFLEKSI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Sepanjang tempoh tiga bulan mengajar matapelajaran Pendidikan  Jasmani, terutama tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6, saya dapati ada beberapa masalah utama yang menjadi kekangan dalam kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah utama ialah majoriti pelajar tidak memakai atau tidak mempunyai pakaian sukan yang sesuai, tidak menepati masa, agihan pelajar mengikut jantina tidak sama rata dan tidak menguasai kemahiran asas dengan baik.

Permasalahan-permasalahan tersebut adalah antara punca utama dalam kegagalan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan dan efektif. Akibatnya, saya mendapati sukar untuk melaksanakan pengajaran sesuai dengan perancangan harian sebagaimana peruntukan masa diberi,  kehendak sukatan pelajaran, mengikut tahap usia pelajar dan aras kesukaran yang sesuai dengan usia pelajar tersebut.

Permasalahan-permasalahan tersebut perlu diberikan perhatian yang serius, memandangkan ianya boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran dan mengakibatkan  kegagalan dalam menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam sukan dan permainan. Ianya secara tidak  lansung akan menyukarkan penyampaian maklumat dan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.

Permasalahan-permasalahan tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan begitu sahaja, ianya bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi turut menjejaskan kredibiliti guru-guru Pendidikan Jasmani dalam menjalankan tugas. Oleh yang demikian, kajian perlu dibuat bagi mengenalpasti cara bagaimana mengatasinya.

Untuk tujuan tersebut, saya menyarankan agar beberapa langkah diambil dan dilaksanakan segera supaya permasalahan-permasalahan tersebut tidak menjadi duri dalam daging yang akhirnya merugikan pelajar sendiri. Beberapa langkah sesuai telah dikenalpasti dan perbincangan bersama antara pengurusan dan tenaga pengajar perlu dibuat segera.

FOKUS KAJIAN
Melalui perhatian yang dibuat, adalah didapati majoriti pelajar tahap dua yang terdiri daripada Tahun 4, 5 dan 6 sama ada lelaki atau perempuan sering melanggar peraturan dan menimbulkan permasalahan-permasalahan berikut;
  • Tidak memakai pakaian sukan yang bersesuaian atau lansung tidak membawa pakaian.
  • Tidak tepat masa dan seringkali lewat
  • Tidak menguasai kemahiran asas sukan dan permainan.
  • Jumlah pembahagian pelajar yang tidak seimbang.

Saya berkeyakinan sekiranya permasalahan-permasalahan di atas dapat diatasi, maka proses pengajaran dan pembelajaran  dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, mencapai objektif yang dirancang sesuai rancangan yang dirancang mengikut sukatan pelajaran bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan seimbang dari aspek mental dan fizikal.

OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian permasalahan ini dibuat dan langkah-langkah pro aktif diambil, objektif berikut diharap dapat dicapai;

a)    Objektif Am
Permasalahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan mampu menguasai kemahiran asas yang diajar.

b)    Objektif Khusus
  •    Pelajar mempunyai baju sukan yang sesuai mengikut rumah sukan.
  •    Pelajar menepati masa dan mempunyai cukup waktu untuk belajar.
  •    Pelajar dapat menguasai kemahiran asas dalam sukan dan permainan.
  •    Jumlah pelajar yang sama rata akan memudahkan penyampaiandan pelaksanaan aktiviti.                                       

KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan pelajar Tahun 4, 5 dan 6 yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan.

PELAKSANAAN TINDAKAN

Tinjauan Awal Masalah

Hasil pemerhatian selama tiga bulan pertama melaksanakan pengajaran matapelajaran Pendidikan Jasmani, didapati majoriti pelajar sama ada lelaki atau perempuan yang tidak memakai atau membawa pakaian sukan. Pelajar juga lebih cenderung memakai baju T dan berseluar sekolah. Oleh itu, pelbagai aktiviti tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang kerana pelajar tidak memakai pakaian yang sesuai.

Kelewatan pelajar hadir waktu matapelajaran Pendidikan Jasmani menyebabkan kesuntukan masa untuk menghabiskan rancangan harian yang telah dirancang. Pelbagai alasan diberikan oleh pelajar. Waktu yang diambil untuk sampai ke padang memakan masa lama memandangkan jarak kelas yang jauh.

Kegagalan pelajar menguasai kemahiran asas sukan dan permainan di sekolah rendah menyukarkan sedikit proses pengajaran dan pembelajaran kerana aras kemahiran di peringkat menengah lebih komplek dan pemahaman terhadap lakuan dan kesan adalah amat diperlukan.

Pembahagian pelajar yang tidak sama rata turut menimbulkan masalah terutama sewaktu pengajaran sukan dan permainan yang melibatkan pasukan. Ketidakseimbangan ini juga perlu diberikan perhatian serius kerana ia juga boleh menyebabkan kesukaran mengajar terutama pada jumlah yang sangat kecil dan sebaliknya.

Tindakan yang telah/akan dijalankan

Memandangkan masalah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja, beberapa langkah dirasakan perlu diambil dan akan diambil, antaranya termasuklah;

  •   Guru telah mengenakan denda dan amaran lisan bagi memastikan pelajar hadir dengan pakaian yang sesuai dan lengkap. Namun, didapati masih gagal mematuhi arahan. Mencadangkan agar disediakan baju rumah sukan di kedai koperasi untuk dibeli dan dipakai semasa kelas.
  •  Akan berbincang dengan pihak pengurusan tentang penggabungan waktu agar lebih masa untuk menguruskan kelas. Selain berbincang tentang pergerakan pelajar keluar dan masuk ke kelas, bagi mengelakkan masalah timbul semasa pergerakan pelajar.
  •   Mengenalpasti guru-guru yang mengajar mempunyai kemahiran dan dihantar menghadiri kursus profesionalisme yang berkaitan agar menguasai kemahiran asas sukan dan permainan. Ini akan menambahkan keyakinan dan minat guru terhadap pengajaran, sekaligus akan menarik minat pelajar.
  •   Mengimbangkan bilangan murid akan dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, keseimbangan ini memudahkan guru menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Bagaimanapun pembahagian tersebut akan mengambil masa yang lama.

Adalah menjadi harapan agar pendekatan yang lebih positif diambil bagi menangani permasalahan-permasalahan tersebut agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

PERATURAN PERTANDINGAN BOLA TAMPAR

1.0 PERATURAN AM

• Selain daripada peraturan-peraturan yang terkandung, pertandingan ini akan dijalankan mengikut
UNDANGUNDANG/PERATURAN BOLA TAMPAR RASMI FIVB.
• Semua keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan
adalah muktamad.
• Sebarang perselisihan teknikal akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan.
• Jawatankuasa Teknikal berhak meminda dan menambah mana-mana peraturan jika difikirkan
perlu.

2.0 TARIKH PERTANDINGAN

3.0 TEMPAT PERTANDINGAN

4.0 PENDAFTARAN PESERTA
• Bilangan penyertaan pemain bagi setiap pasukan adalah 12 orang termasuk jurulatih dan
pengurus pasukan.
• Setiappemain perlu didaftar mengikut nombor jersi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan
semasa pendaftaran.
• Pendaftaran Pemain hendaklah menggunakan borang khas iaitu & Borang Daftar Pasukan Bola
Tampar yang disertakan semasa taklimat dan pengundian diadakan dan Borang Daftar Pemain
Bola Tampar, diserahkan sebelum setiap perlawanan dimulakan.
• Semua kakitangan dan pelajar yang terlibat hendaklah membawa Kad Pengenalan,dan ia
hendaklah diserahkan kepada jawatankuasa pengelola pertandingan sekiranya perlu.
• Setiap pasukan yang akan bermain hendaklah terdiri daripada maksimum 2 kakitangan dan 4
pelajar.
• Pihak jawatankuasa pengelola pertandingan berhak membatalkan mana-mana pasukan yang
melanggar atau tidakmematuhi syarat-syarat di atas.

5.0 SISTEM PERTANDINGAN
• Sistem pertandingan akan dijalankan secaraLiga Sepusingan.

6.0 MENARIK DIRI
• Setiap pasukan tidak dibenarkan menarik diri dari sebarang perlawanan. Jika ianya berlaku,
pasukan berkenaan adalah dianggap menarik diri dari keseluruhan pertandingan dan tidak
dibenarkan menyertai pertandingan seterusnya.

7.0 PEMBATALAN (WALK OVER)
• Setiap pasukan hendaklah berada di gelanggang tiga puluh (30) minit sebelum perlawanan
bermula.
• Pasukan yang lewat lima belas (15) minit dari masa yang telah dijadualkan tanpa memberi
alasan yang munasabah adalah dianggap memberi kemenangan tanpa bertanding kepada pihak
lawan.

8.0 FORMAT KIRAAN MATA
• Perlawanan akan dijalankan dalam 5 set permainan untuk setiap perlawanan di mana pasukan
yang memenangi 3 set terdahulu daripada 5 set dikira memenangi perlawanan.
• Bagi setiap perlawanan, kiraan mata penamat ialah 25 dengan kelebihan sekurang-kurangnya 2
mata. Di dalam kes 24-24 tie, permainan diteruskan sehingga 2 mata dicapai sebagai contoh (26-
24/27-25).
• Bagi setiap perlawanan yang berlarutan sehingga set ke 5, mata penamatnya adalah 15 mata
dengan kelebihan sekurang-kurangnya 2 mata.
• Berikut adalah sistem pemberian mata :-
• MENANG = 3 MATA
• KALAH = 0 MATA
• Sekiranya pada akhir perlawanan pusingan awal terdapat (2) atau lebih pasukan yang
mempunyai mata yang sama, maka cara menentukan kedudukan akan dibuat mengikut bilangan
set kemenangan tertinggi sepanjang kejohanan.

9.0 PAKAIAN
• Setiap pasukan hendaklah memakai pakaian seragam iaitu baju jersi dan seluar sukan.
• Setiap pasukan perlu menyediakan 2 set jersi yang berlainan warna dan mempunyai nombor di
bahagian depan dan belakang yang sesuai untuk pertandingan bola tampar.
• Pasukan yang tidak memakai pakaian seragam tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

10.0 PERALATAN
Setiap pasukan perlu menyediakan 2 biji bola Mikasa untuk pertandingan (Tournament Ball) Biru/Kuning

11.0 PENGADIL
• Pengadil akan disediakan oleh pihak jawatankuasa pertandingan
• Setiap pasukan perlu menyediakan 2 orang penjaga garisan di kalangan pemain

12.0 PENANGGUHAN PERLAWANAN
Sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan atau berlaku masalah teknikal, maka pengadil akan
menunda dengan persetujuan Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan
Pihak Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan akan menetapkan semula perlawanan yang telah
tertangguh.
Kiraan mata dari perlawanan yang tertangguh akan dibawa ke perlawanan sambungan.

13.0 PERKARA-PERKARA AM
• Jawatankuasa Pengelola Kejohanan mempunyai hak untuk mengambil sebarang keputusan jika
timbul kemusykilan dalam kejohanan ini seandainya tidak dinyatakan dalam peraturan
pertandingan dan keputusan adalah muktamad.
• Pihak jawatankuasa Pengelola Kejohanan berhak meminda sebarang undang-undang kejohanan
jika perlu.
• Setiap perlawanan akan dijalankan mengikut masa yang telah dijadualkan, tetapi jawatankuasa
pengelola kejohanan berhak meminda susulan atau tarikh/masa jika perlu. Perubahan ini akan
diberitahu oleh pengurus pasukan masing-masing dengan secepat mungkin.
• Selain daripada pegawai-pegawai yang terlibat dan jurukamera rasmi, tiada sesiapapun
dibenarkan masuk ke dalam gelanggang bila sesuatu perlawanan dijalankan.
• Ahli-ahli sesuatu pasukan yang dibenarkan menduduki atas bangku pemain pengganti yang
disediakan pada masa perlawanan adalah seperti berikut:
1. Pengurus Pasukan
2. Jurulatih
3. 4 orang pemain simpanan
• Disiplin dan kebajikan ahli sesuatu pasukan adalah tanggungjawab Pengurus Pasukan masingmasing
dan diharap semua Pengurus Pasukan akan memberi kerjasama kepada pihak pengelola
kejohanan supaya kejohanan dapat berjalan dengan lancar dan berjaya.

Friday, 28 October 2011

LATIHAN PERMAINAN BOLA TAMPAR

LATIHAN MELAKUKAN SERVIS

Servis bola lantun
Pegang bola dengan tangan kiri pada ketinggian paras dada. Lepaskan bola supaya jatuh ke gelanggang. Pukul bola secara servis bawah apabila bola melantun melepasi ketinggian pinggang. Tetapkan sasaran bola secara berperingkat-peringkat. Mulakan memukul bola sehingga zon serangan. Kemudian cuba membuat servis bola lantun sehingga terkena jaring. Akhir sekali pukul bola melepasi jaring.
  


Servis atas bahu tanpa bola
Cuba gayakan servis atas tangan tanpa bola berulang-ulang kali. Suruh rakan melihat perlakuan anda. Ketika melakukan aktiviti ini tekankan pemindahan berat badan, bengkokkan badan dan hayunkan tangan.



Servis ke dinding
Tandakan pada dinding garisan melintang yang mempunyai ketinggian dua meter, dua meter setengah dan tiga meter. Berdiri sejauh lima meter dari dinding. Lakukan servis secara pukulan atas bahu ke dinding. Arahkan sasaran secara berperingkat-peringkat. Ulangi pukulan sebanyak lima kali pada setiap sasaran.


LATIHAN PUKULAN SANGGA

Menyangga sendirian
Lambung bola dan terus sangga. Ulang beberapa kali sehingga yakin boleh melakukan aktiviti menyangga. Seterusnya lambung bola tinggi dan cuba sangga semasa bola turun. Uji sejauh mana anda boleh mengelakkan bola jatuh ke tanah.  


Lakukan aktiviti menyangga bola ke dinding berulang-ulang. Pastikan selepas sahaja memukul bola, tetapkan kedudukan badan untuk melakukan sanggaan yang baik.

Menyangga berpasangan
Lakukan aktiviti menyangga dengan rakan. Bola disangga ke dinding. Untuk memudahkan aktiviti ini, biar bola melantun terlebih dahulu sebelum disangga bergilir-gilir. Seterusnya lakukan sanggaan berpasangan ke dinding tanpa jatuhkan bola ke tanah.


LATIHAN MENGUMPAN BOLA

Mengumpan bola bersendirian 
Lambung bola dan cuba menangkapnya pada ketinggian separas dengan dahi. Pastikan jari-jari tangan terbuka ketika menangkap bola. Lambung bola kemudian lakukan pukulan mengumpan. Tangkap bola sekiranya paras bola tidak memungkinkan pukulan mengumpan dibuat. Ulang aktiviti ini beberapa kali.


Lakukan aktiviti mengumpan dan menyangga pada dinding.



Mengumpan bola berpasangan
Lakukan aktiviti mengumpan bola dengan rakan. Cuba lakukan umpanan sebanyak yang boleh. Kawal bola agar tidak jatuh ke tanah. Anda boleh menyangga jika tidak sempat membuat umpanan.


Lakukan aktiviti mengumpan dengan rakan pada dinding. Selang-selikan aktiviti ini dengan aktiviti menyangga.


Uji ketepatan umpanan anda. Letakkan lima gelung rotan sebaris. Suruh rakan berdiri pada gelung rotan yang pertama. Anda berdiri sejauh 2 atau 3 meter dari barisan gelung rotan. Buat umpanan ke arah rakan anda. Rakan anda hanya menangkap bola pada paras atas kepala. Selepas hantaran dilakukan, rakan anda berpindah ke gelung rotan kedua. Lakukan aktiviti ini berulang-ulang sehingga ke gelung kelima.


LATIHAN MEREJAM BOLA

Merejam bola bersendirian
Gayakan pukulan rejam berulang-ulang tanpa menggunakan bola. Tumpukan latihan ini kepada lonjakan kaki, bengkokkan badan dan hayunkan tangan. Anda juga boleh menggantungkan bola tampar pada ketinggian jaring. Lakukan lonjakan dan pukulan rejam pada bola itu berulang-ulang.

Merejam bola berpasangan
Seorang rakan berdiri di atas kerusi dan memegang bola dengan tangan terhulur. Apabila rakan memberi arahan 'lompat' ambil dua atau tiga langkah dan terus melonjak dengan kedua-dua belah kaki. Pukul bola yang berada di tangan rakan. Ulang aktiviti ini beberapa kali. Seterusnya, minta rakan membuat umpanan secara melambung bola atau pukulan umpanan. Anda pula bertindak sebagai perejam bola pada setiap bola yang di umpan. Sebaik-baiknya lakukan aktiviti ini dengan jaring yang sedia terpasang. Ketinggian jaring boleh direndahkan untuk membina keyakinan untuk merejam bola.
 

LATIHAN MENGHADANG BOLA

Menghadang sendirian 
Lakukan lonjakkan menegak dan sentuh jaring bola keranjang dengan kedua-dua belah tangan. Tolak sedikit jaring ke hadapan. Lakukan aktiviti ini berulang-ulang. 

Menghadang berpasangan
Berdiri berhadapan rakan dengan jaring berada di tengah-tengah. Lakukan lonjakkan menegak serentak dengan rakan. Cuba tepuk tangan rakan dengan kedua-dua belah tangan. Lakukan berulang-ulang di sepanjang jaring.




Dalam aktiviti yang berikut, seorang rakan merejam bola dan anda cuba menghadang bola yang direjam itu.






Thursday, 20 October 2011

KEMAHIRAN BOLA TAMPAR


PUKULAN SERVIS

Servis ialah pukulan yang dilakukan selepas mendapat mata atau berjaya mematikan servis di gelanggang lawan. Terdapat pelbagai cara pukulan servis. Sebagai permulaan untuk bermain bola tampar, servis bawah bahu dan servis atas bahu biasa digunakan.

Servis bawah bahu 

Pukulan servis bawah bahu merupakan servis yang tepat dan mudah dipelajari. Gaya servis ini juga mengelakkan daripada faul servis. 



Servis atas bahu

Servis atas bahu yang baik boleh menyebabkan pihak lawan tertekan dan sukar untuk memainkan bola. Perlakuan servis atas bahu menyerupai servis dalam permainan tenis


PUKULAN MENYANGGA

Pukulan menyangga digunakan apabila bola berada di bawah paras mata. Kebanyakan pemain belakang gelanggang menggunakan kemahiran ini sewaktu menerima bola servis atau bola rejaman. Pukulan menyangga dilakukan supaya dapat memainkan bola dengan tangan. Bahagian tangan yang sesuai untuk menyangga ialah antara tangan hingga kesiku. Lutut perlu dibengkokkan untuk mendapatkan kuasa hayunan menyangga dengan baik.

 

PUKULAN MENGUMPAN

Biasanya pukulan mengumpan dilakukan pada sentuhan bola yang kedua. Kemahiran ini bertujuan untuk memberi peluang rakan sepasukan membuat rejaman. Umpanan dibuat apabila kedudukan bola melepasi paras kepala. Ketepatan masa amat diperlukan semasa melakukan pukulan umpanan. Ini memberi peluang kepada sendi-sendi menyerap dan mengekalkan kelajuan bola. 


 

PUKULAN REJAM

Rejaman ialah memukul bola dengan pantas ke dalam gelanggang lawan. Tujuan rejaman ialah untuk mematikan servis di dalam gelanggag lawan. Cara ini dianggap satu cara menyerang pihak lawan. kemahiran merejam memerlukan lonjakan melebihi paras jaring. Semasa di udara pula, badan perlulah dibengkokkan dan memukul bola.


 

MENGHADANG

Seperti kemahiran merejam, kemahiran menghadang juga agak sukar dikuasai. Sungguhpun begitu, kemahiran ini juga penting untuk menghadang rejaman. Halangan dilakukan oleh dua orang pemain hadapan dari pasukan yang bertahan. Kedua-dua pemain akan melonjak dan cuba menghalang bola yang direjam dengan kedua-dua belah tangan.


RELI
Bola yang dimulai dengan pukulan servis kadang-kala sukar dimatikan kerana kedua-dua pasukan sukar dimatikan kerana kedua-dua pasukan saling berbalas-balas pukulan. Keadaan ini dinamai reli. Reli berlaku jika kedua-dua pasukan sama handal. Permainan akan bertambah menarik jika berlaku banyak permainan reli. 
 

KEPERLUAN DAN ALATAN

Bola tampar biasanya dimainkan di gelanggang tertutup seperti gimnasium. Walaubagaimanapun bola tampar dapat juga dimainkan di gelanggang terbuka, misalnya gelanggang bersimen. 


Jaring dipasang betul-betul di atas garisan tengah. Dalam pertandingan peringkat bawah 12 tahun, ketinggian jaring ialah 2.10 meter bagi ketegori lelaki dan perempuan. 

 

Saiz bola tampar sama dengan saiz bola sepak tetapi lebih ringan jika dibandingkan dengan bola sepak. Bola tampar mesti berwarna putih dan diperbuat daripada kulit yang lembut atau campuran plastik dan getah. 



Ketika pertandingan setiap pemain dari pasukan yang sama mestilah memakai jersi yang sama warna. jersi dipakai perlulah bernombor di bahagian depan dan belakang. Para pemain juga digalakkan memakai alat pelindung lutut. Alat ini boleh menghindarkan pemain daripada kecederaan ketika bermain. Pilihlah kasut yang sesuai dengan jenis permukaan gelanggang.

Monday, 3 October 2011

SEJARAH BOLA TAMPAR


Permainan Bola Tampar

SEJARAH DAN PERKEMBANGANNYA

Permainan bola tampar diperkenalkan kira-kira seratus sepuluh tahun (110 tahun) yang lalu, iaitu pada tahun 1895. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkannya ialah William G. Morgan. Beliau telah memperkenalkan permainan tersebut di Holyoke, Massachussetts, Amerika Syarikat. Ketika itu beliau mendapati permainan bola keranjang agak lasak dan bercadang untuk memperkenalkan permainan yang seumpamanya tetapi kurang lasak. Pada mulanya, permainan ini dinamakan ‘Mintonette’, tetapi ditukar kepada ‘volley ball’ kerana permainan tersebut banyak menggunakan pergerakan secara lambung atau lambungan. Permainan tersebut menjadi agak popular. Tambahan pula ia menggunakan tiub bola keranjang yang lebih lembut dan dapat mengurangkan kecederaan dan kesakitan pada tangan para pemain.

Permainan ini mula dipopularkan di luar Amerika Syarikat pada 1900 di Kanada, Cuba 1905, Puerto Rico 1909, Filiphina 1910, Uruguay 1912, China 1913 dan Jepun 1917. Ia terus berkembang selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, terutamanya oleh tenteratentera Amerika Syarikat. Pertubuhan Bola Tampar Antarabangsa ditubuhkan di Paris pada tahun 1947. Kejohanan Antarabangsa Pertama pula diadakan pada tahun 1949, iaitu hanya untuk kaum lelaki sahaja. Hanya pada tahun 1952, kejohanan tersebut membuka penyertaan kepada kaum wanita. Permainan ini kemudian maju setapak lagi apabila diterima dan dipertandingkan di Sukan Olimpik, pada tahun 1964. Di Malaysia, permainan bola tampar  mula diperkenalkan pada tahun 1927. Persatuan Bola Tampar Amatur Malaysia atau MAVA ditubuhkan pada tahun 1959.