Sunday, 11 December 2011

KAJIAN TINDAKAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI

LAPORAN KAJIAN TINDAKAN

NAMA DAN ALAMAT SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Seberang Perak,
36000 Teluk Intan,
Perak.

TAJUK KAJIAN
Permasalahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Pendidikan Jasmani

REFLEKSI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Sepanjang tempoh tiga bulan mengajar matapelajaran Pendidikan  Jasmani, terutama tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6, saya dapati ada beberapa masalah utama yang menjadi kekangan dalam kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah utama ialah majoriti pelajar tidak memakai atau tidak mempunyai pakaian sukan yang sesuai, tidak menepati masa, agihan pelajar mengikut jantina tidak sama rata dan tidak menguasai kemahiran asas dengan baik.

Permasalahan-permasalahan tersebut adalah antara punca utama dalam kegagalan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan dan efektif. Akibatnya, saya mendapati sukar untuk melaksanakan pengajaran sesuai dengan perancangan harian sebagaimana peruntukan masa diberi,  kehendak sukatan pelajaran, mengikut tahap usia pelajar dan aras kesukaran yang sesuai dengan usia pelajar tersebut.

Permasalahan-permasalahan tersebut perlu diberikan perhatian yang serius, memandangkan ianya boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran dan mengakibatkan  kegagalan dalam menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam sukan dan permainan. Ianya secara tidak  lansung akan menyukarkan penyampaian maklumat dan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.

Permasalahan-permasalahan tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan begitu sahaja, ianya bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi turut menjejaskan kredibiliti guru-guru Pendidikan Jasmani dalam menjalankan tugas. Oleh yang demikian, kajian perlu dibuat bagi mengenalpasti cara bagaimana mengatasinya.

Untuk tujuan tersebut, saya menyarankan agar beberapa langkah diambil dan dilaksanakan segera supaya permasalahan-permasalahan tersebut tidak menjadi duri dalam daging yang akhirnya merugikan pelajar sendiri. Beberapa langkah sesuai telah dikenalpasti dan perbincangan bersama antara pengurusan dan tenaga pengajar perlu dibuat segera.

FOKUS KAJIAN
Melalui perhatian yang dibuat, adalah didapati majoriti pelajar tahap dua yang terdiri daripada Tahun 4, 5 dan 6 sama ada lelaki atau perempuan sering melanggar peraturan dan menimbulkan permasalahan-permasalahan berikut;
  • Tidak memakai pakaian sukan yang bersesuaian atau lansung tidak membawa pakaian.
  • Tidak tepat masa dan seringkali lewat
  • Tidak menguasai kemahiran asas sukan dan permainan.
  • Jumlah pembahagian pelajar yang tidak seimbang.

Saya berkeyakinan sekiranya permasalahan-permasalahan di atas dapat diatasi, maka proses pengajaran dan pembelajaran  dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, mencapai objektif yang dirancang sesuai rancangan yang dirancang mengikut sukatan pelajaran bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan seimbang dari aspek mental dan fizikal.

OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian permasalahan ini dibuat dan langkah-langkah pro aktif diambil, objektif berikut diharap dapat dicapai;

a)    Objektif Am
Permasalahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan mampu menguasai kemahiran asas yang diajar.

b)    Objektif Khusus
  •    Pelajar mempunyai baju sukan yang sesuai mengikut rumah sukan.
  •    Pelajar menepati masa dan mempunyai cukup waktu untuk belajar.
  •    Pelajar dapat menguasai kemahiran asas dalam sukan dan permainan.
  •    Jumlah pelajar yang sama rata akan memudahkan penyampaiandan pelaksanaan aktiviti.                                       

KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan pelajar Tahun 4, 5 dan 6 yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan.

PELAKSANAAN TINDAKAN

Tinjauan Awal Masalah

Hasil pemerhatian selama tiga bulan pertama melaksanakan pengajaran matapelajaran Pendidikan Jasmani, didapati majoriti pelajar sama ada lelaki atau perempuan yang tidak memakai atau membawa pakaian sukan. Pelajar juga lebih cenderung memakai baju T dan berseluar sekolah. Oleh itu, pelbagai aktiviti tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang kerana pelajar tidak memakai pakaian yang sesuai.

Kelewatan pelajar hadir waktu matapelajaran Pendidikan Jasmani menyebabkan kesuntukan masa untuk menghabiskan rancangan harian yang telah dirancang. Pelbagai alasan diberikan oleh pelajar. Waktu yang diambil untuk sampai ke padang memakan masa lama memandangkan jarak kelas yang jauh.

Kegagalan pelajar menguasai kemahiran asas sukan dan permainan di sekolah rendah menyukarkan sedikit proses pengajaran dan pembelajaran kerana aras kemahiran di peringkat menengah lebih komplek dan pemahaman terhadap lakuan dan kesan adalah amat diperlukan.

Pembahagian pelajar yang tidak sama rata turut menimbulkan masalah terutama sewaktu pengajaran sukan dan permainan yang melibatkan pasukan. Ketidakseimbangan ini juga perlu diberikan perhatian serius kerana ia juga boleh menyebabkan kesukaran mengajar terutama pada jumlah yang sangat kecil dan sebaliknya.

Tindakan yang telah/akan dijalankan

Memandangkan masalah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja, beberapa langkah dirasakan perlu diambil dan akan diambil, antaranya termasuklah;

  •   Guru telah mengenakan denda dan amaran lisan bagi memastikan pelajar hadir dengan pakaian yang sesuai dan lengkap. Namun, didapati masih gagal mematuhi arahan. Mencadangkan agar disediakan baju rumah sukan di kedai koperasi untuk dibeli dan dipakai semasa kelas.
  •  Akan berbincang dengan pihak pengurusan tentang penggabungan waktu agar lebih masa untuk menguruskan kelas. Selain berbincang tentang pergerakan pelajar keluar dan masuk ke kelas, bagi mengelakkan masalah timbul semasa pergerakan pelajar.
  •   Mengenalpasti guru-guru yang mengajar mempunyai kemahiran dan dihantar menghadiri kursus profesionalisme yang berkaitan agar menguasai kemahiran asas sukan dan permainan. Ini akan menambahkan keyakinan dan minat guru terhadap pengajaran, sekaligus akan menarik minat pelajar.
  •   Mengimbangkan bilangan murid akan dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, keseimbangan ini memudahkan guru menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Bagaimanapun pembahagian tersebut akan mengambil masa yang lama.

Adalah menjadi harapan agar pendekatan yang lebih positif diambil bagi menangani permasalahan-permasalahan tersebut agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

1 comment:

  1. Strange "water hack" burns 2lbs overnight

    Well over 160,000 women and men are losing weight with a simple and secret "water hack" to burn 1-2lbs each and every night as they sleep.

    It is very easy and works all the time.

    Here's how to do it yourself:

    1) Hold a glass and fill it up with water half full

    2) And then learn this amazing HACK

    and become 1-2lbs thinner as soon as tomorrow!

    ReplyDelete