Friday, 28 October 2011

LATIHAN PERMAINAN BOLA TAMPAR

LATIHAN MELAKUKAN SERVIS

Servis bola lantun
Pegang bola dengan tangan kiri pada ketinggian paras dada. Lepaskan bola supaya jatuh ke gelanggang. Pukul bola secara servis bawah apabila bola melantun melepasi ketinggian pinggang. Tetapkan sasaran bola secara berperingkat-peringkat. Mulakan memukul bola sehingga zon serangan. Kemudian cuba membuat servis bola lantun sehingga terkena jaring. Akhir sekali pukul bola melepasi jaring.
  


Servis atas bahu tanpa bola
Cuba gayakan servis atas tangan tanpa bola berulang-ulang kali. Suruh rakan melihat perlakuan anda. Ketika melakukan aktiviti ini tekankan pemindahan berat badan, bengkokkan badan dan hayunkan tangan.



Servis ke dinding
Tandakan pada dinding garisan melintang yang mempunyai ketinggian dua meter, dua meter setengah dan tiga meter. Berdiri sejauh lima meter dari dinding. Lakukan servis secara pukulan atas bahu ke dinding. Arahkan sasaran secara berperingkat-peringkat. Ulangi pukulan sebanyak lima kali pada setiap sasaran.


LATIHAN PUKULAN SANGGA

Menyangga sendirian
Lambung bola dan terus sangga. Ulang beberapa kali sehingga yakin boleh melakukan aktiviti menyangga. Seterusnya lambung bola tinggi dan cuba sangga semasa bola turun. Uji sejauh mana anda boleh mengelakkan bola jatuh ke tanah.  


Lakukan aktiviti menyangga bola ke dinding berulang-ulang. Pastikan selepas sahaja memukul bola, tetapkan kedudukan badan untuk melakukan sanggaan yang baik.

Menyangga berpasangan
Lakukan aktiviti menyangga dengan rakan. Bola disangga ke dinding. Untuk memudahkan aktiviti ini, biar bola melantun terlebih dahulu sebelum disangga bergilir-gilir. Seterusnya lakukan sanggaan berpasangan ke dinding tanpa jatuhkan bola ke tanah.


LATIHAN MENGUMPAN BOLA

Mengumpan bola bersendirian 
Lambung bola dan cuba menangkapnya pada ketinggian separas dengan dahi. Pastikan jari-jari tangan terbuka ketika menangkap bola. Lambung bola kemudian lakukan pukulan mengumpan. Tangkap bola sekiranya paras bola tidak memungkinkan pukulan mengumpan dibuat. Ulang aktiviti ini beberapa kali.


Lakukan aktiviti mengumpan dan menyangga pada dinding.



Mengumpan bola berpasangan
Lakukan aktiviti mengumpan bola dengan rakan. Cuba lakukan umpanan sebanyak yang boleh. Kawal bola agar tidak jatuh ke tanah. Anda boleh menyangga jika tidak sempat membuat umpanan.


Lakukan aktiviti mengumpan dengan rakan pada dinding. Selang-selikan aktiviti ini dengan aktiviti menyangga.


Uji ketepatan umpanan anda. Letakkan lima gelung rotan sebaris. Suruh rakan berdiri pada gelung rotan yang pertama. Anda berdiri sejauh 2 atau 3 meter dari barisan gelung rotan. Buat umpanan ke arah rakan anda. Rakan anda hanya menangkap bola pada paras atas kepala. Selepas hantaran dilakukan, rakan anda berpindah ke gelung rotan kedua. Lakukan aktiviti ini berulang-ulang sehingga ke gelung kelima.


LATIHAN MEREJAM BOLA

Merejam bola bersendirian
Gayakan pukulan rejam berulang-ulang tanpa menggunakan bola. Tumpukan latihan ini kepada lonjakan kaki, bengkokkan badan dan hayunkan tangan. Anda juga boleh menggantungkan bola tampar pada ketinggian jaring. Lakukan lonjakan dan pukulan rejam pada bola itu berulang-ulang.

Merejam bola berpasangan
Seorang rakan berdiri di atas kerusi dan memegang bola dengan tangan terhulur. Apabila rakan memberi arahan 'lompat' ambil dua atau tiga langkah dan terus melonjak dengan kedua-dua belah kaki. Pukul bola yang berada di tangan rakan. Ulang aktiviti ini beberapa kali. Seterusnya, minta rakan membuat umpanan secara melambung bola atau pukulan umpanan. Anda pula bertindak sebagai perejam bola pada setiap bola yang di umpan. Sebaik-baiknya lakukan aktiviti ini dengan jaring yang sedia terpasang. Ketinggian jaring boleh direndahkan untuk membina keyakinan untuk merejam bola.
 

LATIHAN MENGHADANG BOLA

Menghadang sendirian 
Lakukan lonjakkan menegak dan sentuh jaring bola keranjang dengan kedua-dua belah tangan. Tolak sedikit jaring ke hadapan. Lakukan aktiviti ini berulang-ulang. 

Menghadang berpasangan
Berdiri berhadapan rakan dengan jaring berada di tengah-tengah. Lakukan lonjakkan menegak serentak dengan rakan. Cuba tepuk tangan rakan dengan kedua-dua belah tangan. Lakukan berulang-ulang di sepanjang jaring.




Dalam aktiviti yang berikut, seorang rakan merejam bola dan anda cuba menghadang bola yang direjam itu.






Thursday, 20 October 2011

KEMAHIRAN BOLA TAMPAR


PUKULAN SERVIS

Servis ialah pukulan yang dilakukan selepas mendapat mata atau berjaya mematikan servis di gelanggang lawan. Terdapat pelbagai cara pukulan servis. Sebagai permulaan untuk bermain bola tampar, servis bawah bahu dan servis atas bahu biasa digunakan.

Servis bawah bahu 

Pukulan servis bawah bahu merupakan servis yang tepat dan mudah dipelajari. Gaya servis ini juga mengelakkan daripada faul servis. 



Servis atas bahu

Servis atas bahu yang baik boleh menyebabkan pihak lawan tertekan dan sukar untuk memainkan bola. Perlakuan servis atas bahu menyerupai servis dalam permainan tenis


PUKULAN MENYANGGA

Pukulan menyangga digunakan apabila bola berada di bawah paras mata. Kebanyakan pemain belakang gelanggang menggunakan kemahiran ini sewaktu menerima bola servis atau bola rejaman. Pukulan menyangga dilakukan supaya dapat memainkan bola dengan tangan. Bahagian tangan yang sesuai untuk menyangga ialah antara tangan hingga kesiku. Lutut perlu dibengkokkan untuk mendapatkan kuasa hayunan menyangga dengan baik.

 

PUKULAN MENGUMPAN

Biasanya pukulan mengumpan dilakukan pada sentuhan bola yang kedua. Kemahiran ini bertujuan untuk memberi peluang rakan sepasukan membuat rejaman. Umpanan dibuat apabila kedudukan bola melepasi paras kepala. Ketepatan masa amat diperlukan semasa melakukan pukulan umpanan. Ini memberi peluang kepada sendi-sendi menyerap dan mengekalkan kelajuan bola. 


 

PUKULAN REJAM

Rejaman ialah memukul bola dengan pantas ke dalam gelanggang lawan. Tujuan rejaman ialah untuk mematikan servis di dalam gelanggag lawan. Cara ini dianggap satu cara menyerang pihak lawan. kemahiran merejam memerlukan lonjakan melebihi paras jaring. Semasa di udara pula, badan perlulah dibengkokkan dan memukul bola.


 

MENGHADANG

Seperti kemahiran merejam, kemahiran menghadang juga agak sukar dikuasai. Sungguhpun begitu, kemahiran ini juga penting untuk menghadang rejaman. Halangan dilakukan oleh dua orang pemain hadapan dari pasukan yang bertahan. Kedua-dua pemain akan melonjak dan cuba menghalang bola yang direjam dengan kedua-dua belah tangan.


RELI
Bola yang dimulai dengan pukulan servis kadang-kala sukar dimatikan kerana kedua-dua pasukan sukar dimatikan kerana kedua-dua pasukan saling berbalas-balas pukulan. Keadaan ini dinamai reli. Reli berlaku jika kedua-dua pasukan sama handal. Permainan akan bertambah menarik jika berlaku banyak permainan reli. 
 

KEPERLUAN DAN ALATAN

Bola tampar biasanya dimainkan di gelanggang tertutup seperti gimnasium. Walaubagaimanapun bola tampar dapat juga dimainkan di gelanggang terbuka, misalnya gelanggang bersimen. 


Jaring dipasang betul-betul di atas garisan tengah. Dalam pertandingan peringkat bawah 12 tahun, ketinggian jaring ialah 2.10 meter bagi ketegori lelaki dan perempuan. 

 

Saiz bola tampar sama dengan saiz bola sepak tetapi lebih ringan jika dibandingkan dengan bola sepak. Bola tampar mesti berwarna putih dan diperbuat daripada kulit yang lembut atau campuran plastik dan getah. 



Ketika pertandingan setiap pemain dari pasukan yang sama mestilah memakai jersi yang sama warna. jersi dipakai perlulah bernombor di bahagian depan dan belakang. Para pemain juga digalakkan memakai alat pelindung lutut. Alat ini boleh menghindarkan pemain daripada kecederaan ketika bermain. Pilihlah kasut yang sesuai dengan jenis permukaan gelanggang.

Monday, 3 October 2011

SEJARAH BOLA TAMPAR


Permainan Bola Tampar

SEJARAH DAN PERKEMBANGANNYA

Permainan bola tampar diperkenalkan kira-kira seratus sepuluh tahun (110 tahun) yang lalu, iaitu pada tahun 1895. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkannya ialah William G. Morgan. Beliau telah memperkenalkan permainan tersebut di Holyoke, Massachussetts, Amerika Syarikat. Ketika itu beliau mendapati permainan bola keranjang agak lasak dan bercadang untuk memperkenalkan permainan yang seumpamanya tetapi kurang lasak. Pada mulanya, permainan ini dinamakan ‘Mintonette’, tetapi ditukar kepada ‘volley ball’ kerana permainan tersebut banyak menggunakan pergerakan secara lambung atau lambungan. Permainan tersebut menjadi agak popular. Tambahan pula ia menggunakan tiub bola keranjang yang lebih lembut dan dapat mengurangkan kecederaan dan kesakitan pada tangan para pemain.

Permainan ini mula dipopularkan di luar Amerika Syarikat pada 1900 di Kanada, Cuba 1905, Puerto Rico 1909, Filiphina 1910, Uruguay 1912, China 1913 dan Jepun 1917. Ia terus berkembang selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, terutamanya oleh tenteratentera Amerika Syarikat. Pertubuhan Bola Tampar Antarabangsa ditubuhkan di Paris pada tahun 1947. Kejohanan Antarabangsa Pertama pula diadakan pada tahun 1949, iaitu hanya untuk kaum lelaki sahaja. Hanya pada tahun 1952, kejohanan tersebut membuka penyertaan kepada kaum wanita. Permainan ini kemudian maju setapak lagi apabila diterima dan dipertandingkan di Sukan Olimpik, pada tahun 1964. Di Malaysia, permainan bola tampar  mula diperkenalkan pada tahun 1927. Persatuan Bola Tampar Amatur Malaysia atau MAVA ditubuhkan pada tahun 1959.